AKU BUKAN WANITA MULIA.
Assalamualaikum, there's a story my friends! take a break n read please. :) maybe there's some knowledge you all can get. :)
baca dan ambik
iktibar daripadanya...
Bau tanah
ditampar renyai hujan menyentuh deria baunya. Dia melihat dari jauh sosok
berkelubung putih berjalan perlahan membelah kabus pagi yang tebal dan dingin.
Dia yakin sosok itu milik seorang wanita kerana kerudung di atas kepalanya yang
terletak indah dibuai nakal sang bayu pagi. Dia melajukan langkahnya, hayunan
kaki dibesarkan cuba mengejar wanita itu, seakan ada satu tarikan yang ia tiada
upaya untuk tolak. Semakin ia menghampiri, semakin wanita itu menjauh, sehingga
lelah menghambat peluh dingin keluar daripada liang tubuhnya. Dia ingin menegur
namun gusar andai dia menakutkan wanita itu pula. Lalu dia berlari anak sambil
menahan serbannya yang hampir tercabut.
“Wahai pemuda!
Tidak malukah kau mengejar aku, bersaksikan serban mulia di kepalamu?” Suara
wanita itu menghentikan langkahnya, cepat-cepat ia kesat peluh di wajahnya
sambil membetulkan serban di atas kepalanya.
“Wahai wanita
mulia, aku Cuma tertanya-tanya, siapakah gerangan kamu, yang berjalan sendirian
di pagi dingin, membelah kabus? Ke mana destinasimu, mana tahu aku bisa
menjagamu dari belakang andai ada yang berniat jahat.” Dia memberanikan diri
untuk bersuara. Wanita di hadapannya tetap juga tidak menoleh, hanya hembusan
nafas yang berat kedengaran.
“Jangan kau
risau, Allah ada untuk menjagaku. Risaulah tentang dirimu, tentang niatmu wahai
orang muda! Allah tidak pernah lengah pada setiap suara hati yang terlintas,
pada setiap denyut hati yang bersuara.” Wanita itu membetulkan kerudungnya,
cuba meloloskan diri daripada perhatian pemuda itu.
“Nanti! Adakah
kau pasti, untuk terus bersendirian menelusuri jalan ini? Aku khuatir andai
apa-apa berlaku padamu.” Lama wanita itu membatu, kemudian dia menoleh ke
belakang, sambil menyembunyikan sebahagian wajahnya. Terlihat jelas di matanya,
sepasang mata bening cuba memberitahunya untuk berlalu pergi.
“Jika benar kau
khuatirkan diriku, pergilah kau dari sini, itulah perkara yang akan
menyelamatkanku dan kamu. Tolong kau pergi dari sini wahai pemuda mulia, aku
bukan seperti sangkaanmu.” Dia terpinga-pinga dengan jawapan wanita itu, cuba
mentafsir apa disebalik kata-kata itu.
“Tapi….” Belum
sempat dia menghabiskan kata -katanya, wanita itu telah berjalan laju, tenggelam dalam kabus tebal.
Kemudian ia merasakan goncangan yang maha kuat, melempar tubuhnya jauh.
“Zikri, bangun!
Ya Allah, kita dah terlambat bersahur! Lagi setengah jam masuk subuh!” diraub wajahnya yang berkeringat lebat,
mulutnya berisitighfar berkali-kali, mengingat mimpi aneh yang telah beberapa
hari mendatangi tidurnya. Dadanya jadi sesak dan sebak setiap kali terjaga
daripada tidurnya. Tuhan, apa yang Kau cuba khabarkan padaku? Siapa wanita itu?
Siapa pemilik sepasang mata itu?bingkas dia bangun dari pembaringan. Membersihkan
tubuhnya, bersahur sekadar beberapa butir kurma dan segelas air kosong,
kemudian menyungkur sujud pada Allah, memohon petunjuknya pada apa yang
berlaku. Sengaja dia berlama dalam sujudnya cuba merungkai segala rusuh yang
bergumpal dalam nubarinya.
Adakah mimpi itu
berkait dengan niatnya untuk bernikah? Adakah wanita dalam mimpi itu adalah
wanita sama yang ingin dia pinang? Kerana mata bening itu benar begitu tidak
asing baginya, telah pun singgah di hatinya, wanita mulia yang dia kenal di
Mekah itu. Wanita yang dia lihat sering bersendiri itu, yang baginya memiliki
hati yang begitu khusyuk dalam melakukan apa sahaja. Sering dia terlihat wajah
suram bersalut duka wanita itu ketika berjalan menelusuri jalan-jalan di
Masjidil Haram, tangannya sentiasa mengesat mata yang berair. Kagum nian dia
pada wanita itu hingga hatinya begitu tertarik pada Izzah yang terpancar ,
seolah-olah terpukau lalu ia nekad untuk mengambil wanita itu sebagai pedamping
hidupnya. Namun dia tidak tahu bagaimana untuk mendekati wanita itu, sudah pun
dia nyatakan hasratnya pada Mursyidnya, untuk merisik wanita mulia itu. Tiada
khabar yang diterima dari mursyidnya, sehingga dia kini telah pulang ke tanah
air, mengusung sebuah harapan yang masih subur agar Allah menemukan dia kembali
dengan wanita itu.
“Zikri, ustaz
dapat maklumat tentang wanita itu, namanya Zinnirah, dia telah pulang ke tanah
air, sekarang menetap di sekitar Kuala Lumpur, sama di tempatmu sekarang. Ustaz
Berjaya mendapat alamatnya juga nanti ustaz emailkan.”Suara mursyidnya di
hujung talian, menyebabkan hatinya berbunga-bunga, rupanya ustaz dalam diam
melakukan sesuatu dan harapannya kian menggebu.
Dia akan pergi
menemui wali wanita itu, meminta dengan penuh takzim dan hormat pada sebuah
ikatan pernikahan. Dia nekad dan pasti. Selepas sahaja dia menerima email
daripada mursyidnya, dia mula merancang strategi, dia mahu bertemu ayah wanita
itu dahulu, kemudian jika semua berjalan dengan baik, baharu dia akan
mengkhabarkan pada ibu dan ayahnya. Dengan lafaz basmallah, dia memulakan
langkahnya, menuju rumah seperti alamat yang tertulis di atas cebisan kertas di
tangannya. Mujur tidak begitu jauh daripada tempatnya menetap. Dia kemudian
Berjaya menemui rumah tersebut, berdiri dia di hadapan pintu pagar besi
bermangga besar. Rumah itu kelihatan sepi, bagai tiada penghuni. Dia jadi
hairan, berdiri lama di situ. Kemudian seorang tetangga keluar menegur.
“Encik cari
siapa?” Seorang lelaki berkain pelikat menegurnya di muka pintu, berjalan
menghampirinya.
“Er..saya cari
Cik Zinnirah, ini rumah dia kan?”
“Eh dah beberapa
bulan dia pindah encik. Kenapa encik cari perempuan sundal tu? Dia ada buat hal
dengan encik ke? Saya Nampak encik ni macam orang baik-baik, mustahil pula
perempuan macam Zinny tu ada kawan seperti encik ini.” Lelaki itu selamba
memuntahkan kata-kata berbau hanyir.
“Apa maksud
encik? Zinnirah tidak melakukan apa-apa, saya mahu berjumpa ayahnya sahaja. Itu
tujuan saya ke sini. Terima kasih atas makluman tentang zinnirah sudah
berpindah, yang lain itu saya tidak terima.” Terus dia mahu berlalu, hatinya
sakit mendengar kata-kata nista daripada lelaki itu.
“Terpulanglah
kalau encik tidak mahu percaya, saya jirannya, saya tahu dia bagaimana.
Kupu-kupu malam sepertinya mana boleh hidup menetap, sentiasa dikejar polis.
Sentiasa perlu berpindah.” Kata-kata lelaki itu menyerbu kasar pendengarannya,
hatinya panas, sejurus itu dia beristighfar dan berlalu pergi.
Benarkah wanita
yang dia lihat di Mekkah itu wanita kupu-kupu malam? Mengapa cahaya Izzah yang
terpancar daripada wanita itu begitu menyilau? Dia bingung seketika, antara
tidak percaya dan tertanya-tanya. Namun peristiwa itu tidak menghentikan
hasratnya. Dia makin sering berdoa dan tekad, langkahnya ke masjid seperti
selalu juga. Dia tanamkan harapannya di rendang pohon pengharapanNya.
Suatu pagi ketika
pulang dari solat subuh di masjid, dia terlihat kelibat Zinnirah, seperti biasa
berpurdah hitam, dia sangat pasti itu. Terus dia mengekori Zinnirah, ingin
mengetahui di mana tempat tinggalnya. Dia tahu, Zinnirah sedar akan
perlakuannya , dia dapat rasakan jelingan mata Zinnirah yang cuba melarikan
diri daripadanya. Ketika dia cuba melintas jalan, kelibat ZInnirah sudah lesap,
dia kesal sendiri. Menyumpah langkahnya yang lambat sambil berdoa agar esok dia
bertemu lagi Zinnirah di masjid namun berminggu-minggu penantiannya sia-sia,
kelibat Zinnirah tidak pernah kelihatan lagi.
“Abang, ini ada
surat daripada kakak Zinnirah.” Seorang anak gadis, malu-malu menyuakan sepucuk
sampul biru yang mencetuskan debaran kuat di dadanya. Paluan debaran itu
menyebabkan dia tidak sabar untuk membongkar isi surat itu.
Bismillah, dengan
nama Allah Yang Maha Pemurah.
Biarlah saya
berterus terang melalui surat ini sahaja. Wahai pemuda, saya sudah dikhabarkan
tentang hasratmu, namun saya harus nyatakan di sini, lupakanlah hasratmu itu,
kuburkannya sedalam-dalamnya, kerana ia tidak mungkin akan berlaku. Saya tidak
akan menerima mana-mana lamaran. Saya bukan seperti sangkaanmu, saya bukan
wanita mulia, saya wanita tercemar yang tidak mungkin akan diterima masyarakat
biarpun saya telah membasuh segala dosa-dosa saya dengan air mata nasuha, itu
tidak mungkin akan mengubah pandangan mereka terhadap saya, malah ibu dan bapa
saya sendiri tidak dapat menerima dosa-dosa yang saya pernah lakukan.
Mereka sudah
membuang saya, seperti juga masyarakat di sekeliling saya. Saya juga tidak
pasti andai taubat saya diterima Allah, kerana dosa saya terlalu banyak,
buih-buih di lautan tidak mungkin bisa menjadi bandingannya. Saudara, ketika
masyarakat menghukum saya atas dosa-dosa itu, saya mengharapkan pengampunan
Allah masih terbuka luas, ketika mereka membuang saya daripada menjadi
sebahagian daripada mereka, wanita-wanita kupu-kupu malam di lorong-lorong
gelap itu yang memberi saya tempat untuk makan, minum dan tidur. Hanya di
situlah saya diterima sebagai insan yang pernah melakukan dosa. Mereka
menyayangi saya dan melayan saya dengan baik, biar hari-hari mereka bergelumang
dosa, mereka tahankan telinga mendengar seruan saya agar mereka kembali ke
pangkal jalan, biarpun tidak semua yang menerima seruan itu, mereka masih
menganggap saya sebahagian daripada mereka. Mereka insan yang dipandang
bergelumang dosa itu menerima saya berbanding manusia yang mengaku suci.
Biarpun buta mata
ini kerana menangis, masyarakat tidak akan berhenti memalitkan perkataan
‘sundal’ pada diri ini. Ya, saya bukan wanita suci wahai saudaraku. Saya sedang
dihukum dengan dosa-dosa lalu akibat jauh daripada pegangan agama dan terlalai
dengan dunia. Saya redha dengan sakit ini, saya sabar menerima segalanya,
inshaallah. Apa saya bisa lakukan jika manusia tidak dapat menerima lagi saya
yang hina ini. Tidak hairanlah begitu ramai wanita yang senasib dengan saya,
yang mahu kembali ke jalan Allah, namun kemudiannya kembali ke jalan noda,
kerana masyarakat yang membuang mereka. Saya saban malam memohon kekuatan, moga
Allah tidak tarik kembali hidayah ini, biarpun kaki saya setiap hari memijak
lorong-lorong gelap itu dan dalam hati saya sentiasa berdoa agar Allah
selamatkan semua wanita-wanita yang senasib dengan saya daripada kekejaman
hukuman manusia yang mengaku suci.
Wahai pemuda,
engkau kulihat golongan baik-baik, yang miliki prasangka yang baik pula
terhadap orang lain, oleh kerana hatimu yang baik. Saya berani katakan, hanya
wanita kurang akalnya sahaja yang akan menolak lamaranmu. Namun demi
kemuliaanmu, saya dengan berat hati menolak lamaranmu, saya tidak mahu
mencemarkan generasi suci dengan darah kotor dan hanyir milik insan seperti
saya. Mengertilah wahai pemuda, saya bukan wanita mulia seperti sangkaanmu.
Saya penghidap AIDS dan menghitung hari untuk bertemu Allah. Lupakan diriku
kerana Allah, moga jika jodoh kita bukan di dunia, di akhirat kita akan
bertemu, inshaallah.
Wanita kotor,
Zinnirah
Sayu dan pilu bersatu
dalam sendu. Dia membaca berulang-ulang kali surat itu. Mahu sahaja dia
menjerit pada seantero dunia, bahawa Allah itu Maha Pengampun biar sebesar mana
dosa hambaNya, jadi mengapa kalian yang bergelar insan begitu bersikap angkuh,
sewenang wenangnya mencanang kata-kata nista yang menghukum. Kesal dan kecewa
bergumpal dalam jiwa. Dia mencari kembali kelibat gadis yang memberinya surat
itu.
“Adik boleh abang
bertanya. Di mana tempat kak Zinnirah tinggal sekarang?” wajah anak gadis itu
serta merta berubah mendung, ada air mata tersisa.
“Abang, kak
Zinnirah sudah pergi meniggalkan kita. Jenazahnya diuruskan pihak hospital
kerana dia penghidap AIDS. Dia sudah disemadikan di kawasan berdekatan hospital
keran tiada waris yang menuntut jenazahnya. Surat itu dia berikan pada saya
ketika dia tenat di hospital dan pesannya berikan pada abang yang berjubah
putih dan berserban biru.” Kata-kata gadis itu bagai halilintar, serasa hatinya
hangus mendengar khabar itu.
Air mata
lelakinya jatuh menyentuh dadanya. Subhanallah, kau wanita suci ZInnirah, di
sisi Tuhan jika kau diampunkan ketika kau menangis di hadapan Kaabah. Kau suci
daripada dosa, ketika kau redha dan bersabar dengan segala ujianNya, ketika kau
menanggung sakit daripadaNya, ketika kau sabar menerima hukuman masyarakat yang
mengaku suci , yang membuangmu. Sedangkan mereka yang mengaku suci itu belum
tentu juga nasibnya bagaimana. Oh! manusia mana yang suci daripada dosa? dia
beristighfar berkali-kali cuba menenangkan taufan dijiwanya. Mengertilah dia akan
mimpinya selama ini. Tuhan temukan dia dengan Zinnirah biarpun hanya dalam
mimpi. Zinnirah, di mataku kau tetap wanita mulia dan suci yang berjalan menuju
Allah. Zinnirah, moga kau diampunkan olehNya, moga kau beroleh syurgaNya! Amin,
thumma amin.
That's all for this time. Thanks for reading. :)
selawat.~